SENJA HARAM

Senja itu, fikir Saiful Izham, dia cuma mahu meladeni fikirannya yang melarat. Kesal juga berlama-lamaan di pasar kurma . Memang tidak membawa wang begitu banyak .RM pun jatuh meredum .Sejak awal-awal lagi matlamatnya cuma beribadah dan bertaubat habis-habisan. Sebab memikirkan ramai yang tahu dia kesini. Dia  gagahi juga untuk membeli beberapa jenis tamar. Ada tamar sukari, deglat, sefri, syukulat, ambar  dan tentu sekali tamar Rasul - si ajwa yang lemak manis . Layan benar nafsu membeli , hampir-hampir terlepas solat maghrib berjemaah .
     Dari dataran Masjid  Nabi, angin kering panas menerpa memecah-memecahkan bibir dan tapak kaki. Kulit merekah disana-sini .Kubah hijau tersergam hebat, dia dapat melihat dari sini , makin ramai manusia berpusu-pusu menziarahi makam Rasulullah yang bersebelahan dengan makam Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar.
     Tiang-tiang kubah mekanikal tegak bersusun-susunan.Dia membayangkan kalau kubah itu dikembangkan tentu beregis-regis cantik .Besarnya Masjid Nabi ini sudah merebak-rebak hingga ke perkuburan Baqi' .
     Imannya bergoncang hebat di sana sini. Rasa kecil memikirkan semua yang berlaku .Setiap bukit, pohon , pasir dan kerikil merakam sejarah , ia mencatat sirah Nabawiyyah . Pagi tadi ketika di bawa ke Uhud, dia menahan sebak .Uhud adalah kisah keimanan yang tiada banding.Kisah kepatuhan, pengorbaan diri dengan keluhuran jiwa dan dengan kemulusan perasaan teragung.  Terbayang-bayang Mus'ab bin Umair,  teruna manja hidup  mewah, mendadak diberi hidayah memeluk Islam.Kekayaan itu direntap oleh ibunya yang kufur. Dia lantas hidup sederhana, terlalu sedehana dengan keimanan hingga tatkala syahidnya di medan Uhud, jenazah mulia itu terpaksa dikebumikan dengan ditutupi rerumput idhkir di atas kaki.
     Juga dia lebih bersedu mengenangkan Abu Dujanah menjadikan tubuhnya perisai melindungi Rasulullah  hingga tertusuk-tusuk oleh anak-anak panah musuh di belakang badan.
     Lebih haru tentulah kesyahidan Saidina Hamzah yang jantung dan paru-parunya dikorek dan dimamah-mamah Hindun. Akan tetapi saban masa, fikirnya , berpusu-pusu umat Islam menunaikan haji atau umrah dan melengkapi dengan ziarah. Tiada hasil tiada natijah .Bila pulang tiada sedikit pun kesan jihad  pada diri baginda itu terpalit bersama
Mengutip teladan
     Mereka datang dan pergi lalai menguti teladan serta pengajaran di kota Rasul ini. Akan kemanakah muslim ? Bukankah Iqbal ,  penyair agung itu ada mencatat betapa kasih cinta kita makin kurang terhadap Nabi Muhammad SAW.
     Senja itulah, kala Saiful Izham sedang larut mengenal-ngenal dan merasa-rasa detak jiwa umat,  dia ditegur Mohtashemi, pemuda Iran yang rupa-rupanya beberapa lama memerhatikan diri penuh minat. Kemudian dalam penerbangan dari Madinah ke Jeddah , dalam ihram untuk ke Mekah , sempat pula berkenalan dengan Melayu Afrika Selatan yang baru berkahwin dua minggu. Muhammad Munir dan Shereen. Kacak dan jelita .Sama-sama  padan.
     Senja inilah , selepas dua tiga hari di Masjidil Haram, ulang alik menginap di Makkah Hilton yang agam gah itu, mereka bertemu semula bagai saudara. Sedang fikiran  Saiful masih pergi datang dan perca-perca sejarah umat Islam sekejap singgah menjengah dan lari tergesa, Dalam benak terbayang cemuhan dan  penghinaan diterima Rasulullah sebelum hijrah.
     Seketika terkesima diusik gambaran ngeri pemberontakan rakyat Mesir, hingga membunuh khalifah ketiga , Saidina Uthman. Larut diterjah peristiwa serangan tentera Tartar ke atas empayar Islam.Dia pedih luar dalam.Ketika terngiang-ngiang  bacaan merdu tinggi rendah dan sesekali pekik Imam Sudaisi yang mencuit-cuit hati itulah mereka bagai tidak percaya boleh berjumpa lagi. Langsung ke telaga zam-zam bersama-sama dan senja esok berjanji untuk mengerjakan umrah bersekali.
     Sekarang, senja di al-Haram. Mereka menunaikan permuafakatan semalam.Mereka ambil bas ke Saptco dua tingkat ke Tanaeim untuk berniat ihram. Setelah maghrib bergegaske stesen bas di bahagian kanan Hilton. Bas akan melalui jalan At-Tayseer. Tidak jauh , istana Ajyad memandang mereka.
     Mohtashemi , pelajar Usuluddin di Qom Muqaddasa ( pengkalan Imam Khomeini melancarkan gerakan politik bertenaganya itu.) Tinggi tegap, hidung mancung dan kuilt kemerah-merahan dengan jambang halus-halus.
     Entah mengapa mengingatkan Saiful kepada pelakon Antonio Banderas. Muneer  meninggalkan isterinya bertawaf sunat di Haram.Tinggi hampir menyaingi , bercakap laju dan selalu membetulkan cermin mata -  lebih acuan lelaki India dari Melayu - bisik resik dalam hati.Mungkin sahaja Melayu kacuk akar itu kacuk akar ini, hingga 'Melayu'nya kurang pekat tepancar di wajah.
     Dalam perjalanan ke Tanaeim yang sepatutnya pendek, tetapi menjadi panjang kerana bas mengambil  pelbagai jalan dan membelok masuk berbagai-bagai simpang - Mohtashemi si provokatif , memilih topik, tamadun atau umat Islam bahagian manakah akan menerajui Islam selepas ini - tajuk perbincangan yag menarik tetapi jadi kecamuk buat Saiful yang suka berkhayal mengembara ke zaman-zaman belakang . " Bagaimanakah membina tamadun baru yang betul-betul bertenaga?" tanya Muneer.
 
Mencipta tamadun
     " Lihat dari kaca mata Shariati ," kata Mohtashemi.
     " Ali Shariati ? Sosiologis Iran ?"  tanya Saiful bersunnguh.
     " Dua syarat penting untuk betul-betul mencipta tamadun jaya."
     " Apa ?" tanya Muneer tidak sabar.
     Jalan-jalan yang dilalui  bas ini , nyata sempit, gelap dan lampu-lampu jalan tidak berfungsi di kiri kanan. Bas melepasi Sekolah Rendah Al- Saidah di kanan. Kedai-kedai makan  terasing hidup segan. Tetapi di musim haji tentu hidup berani. Bengkel kereta, kedai gunting rambut kurang sibuk.
     "Pertama fenomena migarasi atau hijrah.. Ingat Nabi kita berhijrah ke Madinah untuk membina masyarakat baru. Sebelum itu umat Islam berhijrah ke Habsyah . Kedua-duanya , Ali Shariati melihat faktor manusia itu sendiri , mendasar kepada ayat al-Quran  yang bermaksud : Tuhan tidak akan merubah nasib sesuatu kaum , jika mereka sendiri tidak mahu mengubahkannya.
 Saiful sedih pedih mengenangkan Saidina Uthman yang membeli telaga Raumah untuk minuman Muslimin dan membeli tanah untuk meluaskan masjid Nabi   dikepung kejam pemberontak. Khalifah tua itu dan keluarganya dihalangi dari keluar rumah .
     Bekalan air putus.Ummul-mukiminin, isteri Nabi, Habibah Abi Sufiyan yang datang menatang air sejuk dipukuli muncung keledainya dan tali pelana diputuskan . Nyaris jatuh tersungkur.
     Dan rupa-rupanya benteng dari kalangan Abdullah bin Umar, Abdullah bin Zubair dan cucu-cucu Rasulullah, Hassan dan Hussein tidak bisa lagi menahan pembunuhan ke atas sahabat Nabi yang dijanjikan syurga itu.
     "Ibnu Khaldun menekankan pegangan kepada agama ialah unsur paling utama dalam mencipta  sebuah tamadun. Usia tamadun itu akan lebih terjamin lama jika penghayatan  terhadap agama lebih kuat. Juga kemewahan yang dinikmati buleh merosakkan tamadun kalau tiada 'moral order'  berkuasa untuk mewarisinya.
 Suara Muneer menyentak Saiful di alam nyata dan dia terkenangkan tamadun Melaka yang perkasa itu runtuh oleh alpa kemewahan dan cepat direbut Portugis.
     "Malek Ben Nabi , pemikir Algeria itu pun setuju kekayaan hidup
menjurus kepada kejatuhan moral roh manusiawi, pengumpulan harta tanpa
tunjang agama dan budaya akal menghuru-harakan," Mohtashemi mengambil
giliran memberi pandangan.
     "Saiful, apa kata Saiful?" soal Mohtashemi keras, suara meningkah deru enjin yang menenggelamkan deru enjin sejenak diskusi mereka.
     "Setuju.Emile Durheim sendiri melihat kemodenan meruncing menjadikan manusia gawat kacau.Timbul masalah mal-adjusment  atau kegagalan manusia untuk hidup dalam suasana baru .Seperti Ibnu Khaldun, Durkheim pun ikut menyebut, kesatuan sosial dalam masyarakat asas kepada
tamadun maju," Saiful memberi hujah.
     Tiba-tiba dia teringat tamadun yang sedang mekar di negaranya.Hebat gagah. Selesa santak semua orang lupa, lalu penyakit masyarakat mula berbenih bercambah.Akhlak lupus dan berantakan.  Masyarakat  atas bawah boros. Juga spontan diri terkenangkan kejatuhan RM, ketika dia baru tiba, RM100 bersamaan dengan 128 Saudi Riyal. Kini kejatuhan menjunam-junam, RM 100 bersamaan 107 Suadi Riyal . Javid , sarraf atau penukar wang bersebelahan Hotel Asia menyindir pahit.
     "Kerana Soros atau kerana boros?"
     "RM..ringgit Malaysia atau rupee Malaysia?"
    "Iya, kemewahan menyebabkan keruntuhan akhlak dan keborosan
meruntuhkan ia lagi.Padah melewakan nilai spiritual."
 
     Bas mengambil jalan al-Haj melintasi hadapan Thaqafa Book Store.Deretan kedai  barangan antik ditinggalkan.Penumpang di ambil dan diturunkan sesuka hati di mana-mana.
     Masjid Tanaem kelihatan.. Mereka turun sembahyang sunat ihram dan berniat, lalu naik semula bas yang lain . Sedia menunggu.
     "Jadi bangsa mana selepas ini memimpin dunia Islam?Semua bangsa sudah merasa sebagai peneraju kecuali Melayu!" Mohtashemi membuka perdebatan baru.
     Saiful teringatkan pandangan Profesor Sayyid Naquib al-Attas, kedatangan Islam telah merubah alam Melayu seluruhnya.Melayu berubah dari ranka mitos ke rangka fakta, akliah  dan intelektualisme.
     "Ingat surah al-Imran ayat 140 - Dan hari-hari kejayaan  itu dikurniakan kepada umat manusia dengan bergiliran." Sambung Muneer .Wajah campur Melayunya berseri-seri .
     Saiful Izham terdiam. Sesak untuk menerima hakikat yang Melayu yang diharap-harap akan menjadi pemimpin umat Islam .Dia terkenangkan bohsia dan bohjan  di Kuala Lumpur.Terbayang ratus ribu Melayu jadi penagih dadah di belakang Lorong Haji Taib.
 
Takhta Ulung
 
     Tergambarkan sekian banyak penzinaan berlaku dan sekian banyak bayi dibuang
     Ciri-ciri tamadun unggul yang ditetapkan Ibnu Khladun, Ali Shariati dan Malek Ben Nabi  itu hampir tiada pada orang Melayu, dia berani berfikir begitu .Biarlah nanti orang kata dia pesimistik Kejujuran tidak boleh ditutupi dengan kemunafikan dan solek hipokrit tebal.
     "Banyak lagi yang perlu diperbaiki Melayu untuk mendapat takhta ulung itu. Terlalu banyak.."Itu sahaja jawapan yang mampu diberi
     Bas begerak, tidak jauh dari pusat sukan , ia membuat pusingan U sebelum tersangkak perlahan di hadapan pusat pemeriksaan Muslim .Sebelum itu mereka terpesona dengan reruntuhan  tembok Zubaidah. Seketika tersekat  di hadapan Mustasyfa Malik Abdul Aziz.
Bas mengambil Jalan Hassan Ibnu Thabit sekali lagi , langsung masuk kebahagian  Mekah yang sibuk .Kedai kebab berderetan sebelum tiba di hadapan Pusat Panggilan Antarabangsa Andalusia.Bas memasuki  2nd Riang Road, di kanan apartment mewah Ghailmah Tower berdiri teguh.
     Bas meneran payah tergigil-gigil  kala mendaki bukit kecil dengan hotel dan bilik kediaman murah sesak di kiri kanan. Bas elok-elok turun tidak jauh dengan hotel dan bilik kediaman murah dari pintu mengarah ke bukit Marwah. Seratus meter dari Maulid Nabi  ( tempat kelahiran Rasulullah) yang kini sudah dijadikan Maktabah ( perpustakaan) . Mereka bergegas masuk ke Masjidil Haram . Takjub dengan keagungan Kaabah.
     Senja merah jingga al-Haram selesai. Azan Isyak berdengung dilaungkan . Mereka terapung bahagia…



SENJA HARAM


Share :

0 Response to "SENJA HARAM"

Posting Komentar